Kelapa

Aku pernah dengar cerita ini tapi dah lama dah. Mungkin dah 10 ke 15 tahun yang lalu. Tapi waktu itu cerita ini dibawa mulut ke mulut. Memandangkan cerita ini terlintas kembali di kepala ketika melihat kartun lama aku di bawah, maka aku kongsikan cerita ini kepada kamu semua pula! Maaflah kalau cerita ini panjang sikit ya…

Kisah Beruk Dan Kelapa

Wok Sir tinggal di Tumpat, Kelantan. Dia ada seekor beruk peliharaan yang pandai memanjat pokok kelapa. Pendapatan sampingan Wok Sir ialah menggunakan beruk peliharaannya itu untuk mengambil upah memetik kelapa dari masyarakat sekitar Tumpat.

Tetapi malang sungguh nasib Wok Sir apabila suatu hari beruk peliharaannya telah mati akibat suatu kejadian yang sungguh menyayat hati iaitu terhantuk buah kelapa yang terjatuh. Akibat tragedi tersebut, Wok Sir selalu murung dan bersedih. Kesedihan Wok Sir turut dirasai oleh orang kampungnya dan juga mereka yang pernah mendapat khidmat daripada beruk Wok Sir.

Untuk menghilangkan kesedihannya, Wok Sir telah pergi ke rumah sahabatnya yang bernama Pok Jeng. Pok Jeng tinggal di Marang, Terengganu. Pok Jeng sebenarnya adalah teman seperguruan Wok Sir semasa mereka menuntut ilmu pemeliharaan beruk suatu ketika dahulu.

Kedatangan Wok Sir disambut gembira oleh Pok Jeng. Setibanya Wok Sir ke situ ada perkara yang lebih menggembirakan hatinya. Ini adalah kerana Pok Jeng mempunyai seekor beruk yang saling tak tumpah dengan beruknya dahulu.

Pok Jeng memanggil beruknya sebagai Jekseng. Kesedihan Wok Sir sedikit terubat apabila dia berada bersama-sama dengan Jekseng. Tetapi yang lebih menjadikan Wok Sir teruja ialah kerana kecekapan dan kehebatan Jekseng dalam mematuhi semua arahan daripada Pok Jeng. Jekseng akan memanjat pokok kelapa dengan tangkasnya apabila disuruh dan akan memetik kelapa yang tua atau kelapa muda hanya dengan arahan daripada Pok Jeng.

Setelah hampir 1 minggu di Marang, Wok Sir ingin pulang ke Tumpat. Tetapi dia mempunyai satu harapan iaitu ingin membawa Jekseng bersama-samanya. Dia tidak tergamak untuk menyuarakan keinginan itu kerana mengenangkan persahabatannya dengan Pok Jeng.

Bagi diri Pok Jeng, dia memahami suara hati sahabatnya itu, lalu dia membenarkan Wok Sir untuk membawa pulang Jekseng bersamanya selama sebulan. Wok Sir sangat gembira dan terus memeluk Pok Jeng dan berjanji akan menjaga Jekseng sebaik mungkin. Pok Jeng kemudiannya mengajar Wok Sir arahan-arahan yang perlu diberi kepada Jekseng untuk memetik kelapa nanti.

Orang kampung Wok Sir sangat gembira apabila melihat dia sudah pulang dengan wajah yang ceria dan bersamanya seekor beruk yang seiras dengan beruknya dahulu. Wok Sir menceritakan segala yang telah berlaku sewaktu di Marang dan berulangkali memberitahu akan kehebatan Jekseng.

Dengan tidak berlengah dia terus membawa Jekseng dan orang kampungnya pergi ke kebun kelapa Tok Penghulu. Di situ juga dia berkata kepada Jekseng, ”Panjat Jekseng, panjat!”. Sebaik menerima arahan tersebut, Jekseng yang dari tadi asyik menggigit batang tebu terus mencampakkan tebu itu dan mulalah memanjat pokok kelapa itu. Orang kampung mulalah bersorak gembira melihat kehebatan Jekseng memanjat pokok itu yang begitu pantas sekali.

Wok Sir tersenyum girang mendengar sorakan orang kampungnya. ”Ha, ambik hok tuo, hok tuo. Jange hok mudo!” (Ha ..ambil yang tua..yang tua..jangan yang muda!) Wok Sir memberikan arahan seterusnya. Akan tetapi si Jekseng tidak bergerak. Dia hanya memandang ke bawah terkebil-kebil. ”Jekseng, kawe kato ambik nyor tuo tu. Ha, tu hok tuo depe demo tulah.”( Jekseng.. saya kata ambil kelapa tua tu. Ha, tu yang tua kat depan kau tulah!) sambung Wok Sir lagi. Jekseng masih tidak berganjak dan terus terkebil-kebil memandang ke arah Wok Sir dan orang kampungnya.

Bila melihat Jekseng yang tidak berganjak itu, Wok Sir merasa hairan lalu terfikir mungkin Jekseng keletihan kerana perjalanan yang jauh. Dia berkata ”Ha, turun-turun!” Jekseng terus turun bila mendapat arahan itu.

Pada keesokan harinya. Wok Sir membawa Jekseng memanjat pokok kelapa di depan rumahnya. Perkara yang sama telah berlaku . Jekseng hanya menerima arahan ‘panjat’ dan ‘turun’ sahaja. Wok Sir merasa hairan dengan kejadian ini. Segala kehebatan Jekseng yang diwar-warkannya kepada orang kampung tidak dapat dibuktikan. Wok Sir mula merasa malu dengan orang kampungnya.

Kejadian ini berlarutan selama 6 hari dan masuk hari ke 7, Wok Sir telah menelefon Pok Jeng dan menceritakan segala apa yang telah berlaku. Pok Jeng berjanji akan pergi ke Tumpat pada keesokan harinya.

Malam itu Wok Sir tidak dapat melelapkan matanya. Bermacam-macam kemungkinan bermain di benaknya. Mungkinkah Jekseng sakit? Atau mungkinkah Jekseng rindukan Pok Jeng? Pelbagai kemungkinan dibayangkannya sehinggalah ke waktu Subuh.

Lebih kurang pukul 12 tengahari kelibat Pok Jeng pun kelihatan dan Wok Sir menyambut Pok Jeng dengan penuh kegusaran pada wajahnya. Berulang-ulang kali lagi dia meminta maaf daripada Pok Jeng atas segala kesulitan tersebut.

Pok Jeng dibawa ke kebun kelapa Tok Penghulu. Pok Jeng meminta Wok Sir tunjukkan bagaimana arahan yang diberikannya kepada Jekseng supaya mengambil kelapa tua. ”Ha panjat Jekseng. Gi ambik nyor tuo tigo butir.” (Ha panjat Jekseng. Pergi ambil/petik kelapa tua tiga biji). Jekseng pun mulalah memanjat pokok itu tetapi seperti 6 hari yang lalu dia hanya memanjat dan kemudian terkebil-kebil memandang Wok Sir di bawah.

Pok Jeng pun tersenyum kerana dia mula dapat mengagak akan masalah yang sebenarnya. Pok Jeng meminta Wok Sir menyuruh Jekseng memetik kelapa muda pula. ”Jekseng, demo ambik nyor mudolah pulok. Ha nyor mudo, mudo.” (Jekseng, kau petik kelapa mudalah pulak. Ha kelapa muda, muda). Jekseng hanya terkebil-terkebil sahaja.

Tiba-tiba Pok Jeng pula mengeluarkan arahannya “Jekseng, ambik hok MUDER, HA MUDER.” (Jekseng petik yang muda ha muda). Mendengar sahaja arahan itu terus Jekseng memetik kelapa muda beberapa biji. ”HA, HOK TUER, TUER!” (Ha, yang tua, tua). Pok Jeng memberi arahan selanjutnya. Jekseng terus memetik beberapa biji kelapa tua sebagaimana yang diarahkan.

Wok Sir pun menggaru kepalanya akan insiden ini sambil Pok Jeng ketawa terbahak-bahak kerana baginya ia amatlah menggelikan hatinya. Rupa-rupanya Jekseng adalah seekor beruk dari Marang, Terengganu yang tak faham akan loghat Tumpat, Kelantan dari Wok Sir!

SEKIAN!

Itu ajelah ceritanya! Tak semestinya manusia saja yang berbeza loghat, binatang pun begitu juga.. ha ha ha!

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s